Ekonomi Afrika Selatan

Untuk rencana lanjutan lihat: Ekonomi Afrika Selatan

Afrika Selatan adalah sebuah negara maju dengan penduduk yang berpendapatan sederhana. Negara ini kaya dengan galian terutamanya galian bernilai tinggi seperti emas, platinum dan berlian. Ia juga mempunyai sistem kewangan, perundangan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur yang maju dan moden. Bursa sahamnya di Johannesburg begitu aktif, sehinggakan ia pernah berada di tangga ke-10 terbesar di dunia.

Sejak kedatangan British di sini, ekonomi negara bergantung kepada sektor perlombongan. Tetapi beberapa dekad yang lalu, ia telah digantikan oleh sektor pengeluaran. Sektor industri Afrika Selatan yang sangat maju, telah menjadikannya ekonomi ke-25 terbesar di dunia. Dengan hanya 7% penduduk dan 4% jumlah kawasan keseluruhan Afrika, Afrika Selatan mengeluarkan lebih satu pertiga produk dan perkhidmatan di Afrika, dan hampir 40 % pengeluaran industri di Afrika. Selain itu, KDNK per kapitanya telah meletakkan negara ini dikalangan 50 negara terkaya didunia. Namun secara realitinya, pembangunan hanyalah tertumpu pada empat kawasan utama: Cape Town, Pelabuhan Elizabeth, Durban, dan Pretoria-Johannesburg. Manakala kebanyakan tempat lain masih mundur. Akibatnya Afrika Selatan mempunyai kadar ketidaksamaan pendapatan yang tertinggi di dunia. Dasar Aparteid yang dilaksanakan selama lebih empat dekad, merupakan punca utama kemiskinan di kalangan penduduk kulit hitam di Afrika Selatan. Pada akhir 1980an, dianggarkan 16 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan dan 2.3 juta orang berisiko kebuluran dan kurang zat makanan. Walaupun begitu, kerajaan kulit hitam Afrika Selatan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 42% pada 1994 ke 24% pada tahun 2003.

Sun City sebuah resort kasino yang dibuka pada 1976 di tengah-tengah kawasan golongan orang miskin di Bophuthatswana

Antara masalah lain yang telah melanda negara ini ialah jangkitan HIV. Wabak ini merupakan masalah kritikal di Afrika Selatan. Dianggarkan 4.79 juta penduduknya dijangkiti HIV/AIDS dan kerajaan Afrika yang baru terpaksa berbelanja berjuta-juta Rand untuk menangani masalah ini. Sejak Afrika Selatan membuka sempadannya selepas tamatnya Apartheid, sindiket jenayah antarabangsa telah menembusi negara ini. Kini, Afrika Selatan adalah pengeluar dadah ganja terbesar di dunia. Pergolakan politik di Zimbabwe juga memberi impak yang buruk kepada ekonomi negara ini. Ramai pelabur asing bimbang masalah ini akan berlanjutan ke Afrika Selatan. Pada tahun 2002, masalah-masalah ini telah menjadi faktor utama penurunan nilai Rand sebanyak 30 peratus tetapi sejak kebelakangan ini matawang Rand telah kembali kukuh.

Dari segi pengangkutan, pengangkutuan darat seperti jalanraya dan lebuhraya masih merupakan sistem utama bagi menghubungi satu tempat dengan tempat lain. Syarikat kereta api nasional, Spoornet, mempunyai lintasan kereta api sepanjang 20,319km. Namun demikian, dianggarkan 80 peratus muatan diangkut melalui jalanraya seperti melalui lori, trak dan sebagainya.

Rujukan

WikiPedia: Afrika Selatan http://www.britannica.com/eb/article-9113829/LESOT... http://www.time.com/time/europe/html/050606/africa... http://www.youtube.com/watch?v=NsWwz9UmjVk&watch_r... http://www.southafrica.info http://www.southafrica.info/about/education/educat... http://www.southafrica.info/about/sport/greats/ http://web.archive.org/web/20050622043654/http://w... http://dmoz.org/Regional/Africa/South_Africa //ms.wikibooks.org/wiki/Special:Search/South_Afric... //commons.wikimedia.org/wiki/Special:Search/South_...